Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid berpeluang untuk mengulang kembali ketajamannya bersama skuad kebangsaan seperti yang dilakukannya dua tahun lalu.
Akhyar telah meledak dua jaringan ketika bertemu Filipina di Singapura dua tahun lalu sekali gus memberikan kemenangan 2-0 buat skuad kebangsaan yang pada ketika itu dilatih oleh pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Kini, Malaysia bertemu dengan Filipina sekali lagi dalam kempen Pestabola Merdeka 2024 pada 4 September yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil jam 9 malam.
Ini merupakan peluang terbaik buat Akhyar mengulang kembali ledakan jaringan buat skuad kebangsaan selepas cemerlang di Singapura dua tahun lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Akhyar menjaringkan gol buat skuad kebangsaan adalah pada 28 Mac tahun lalu ketika menewaskan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.
Pemain berusia 25 tahun itu kini telah mengumpul 45 penampilan bersama skuad kebangsaan dan telah merekodkan 10 jaringan setakat ini.
Bukan tugas yang mudah buat Akhyar untuk berada di dalam kesebelasan utama selepas terpaksa bersaing dengan nama-nama besar yang lain seperti Safawi Rasid, Arif Aiman dan Syafiq Ahmad yang turut mampu beraksi di posisi sayap kiri skuad kebangsaan.