Pertembungan antara pasukan China dan Syria pada 12 September 2023 dihiasi dengan insiden yang sudah pasti mahu dilupakan oleh para pemain tuan rumah.
Aksi yang berlangsung di Stadium Phoenix Hill itu menyaksikan pasukan ke-80 dunia itu menerima tamparan hebat selepas sebahagian besar penyokong telah memboikot aksi tersebut.
Perkara ini susulan keputusan seri 1-1 yang telah diperoleh pasukan Malaysia berdepan skuad Naga Emas baru-baru ini.
Insiden yang lebih mengejutkan apabila para penyokong tuan rumah dilihat lebih memihak kepada pasukan lawan ketika aksi China dan Syria.
Menerusi satu laporan oleh China Sports Vision 2050, para penyokong China bertindak luar kawalan apabila mem ‘boo’ pemain kesayangan mereka secara terang-terangan dalam padang.
Kejadian ini berlaku sejurus tamat perlawanan dengan para pemain berjalan ke arah penonton untuk memberi tanda penghormatan.
Perkara sebaliknya pula terjadi apabila pemain Syria yanh diberikan penghormatan tertinggi oleh penyokong China.
Perlawanan itu menyaksikan pasukan ke-94 dunia, Syria menewaskan China di tempat lawan dengan keputusan 1-0.
Perkara ini sudah cukup memberikan kesan kepada China yang kehilangan -5.6 mata FIFA kepada Syria.
Pengendali China, Aleksandar Jankovic nyata kecewa dengan apa yang berlaku kepada pasukannya. Jankovic jelas sekali mahu anak-anak buahnya bangkit selepas seri 1-1 dengan Malaysia tempoh hari.
“Ia adalah keputusan yang mengecewakan bagi kami. Kami meminta pemain untuk bangkit semula selepas seri menentang Malaysia, tetapi malangnya kami tidak dapat memenangi perlawanan itu (menentang Syria),” kata ketua jurulatih China, Aleksandar Jankovic.