Pemain Selangor Kembali Ke Korea Selepas 6 Bulan
MakanBola
Selangor FC

Pemain sayap Selangor, Kim Ji-ho mengucapkan selamat tinggal selepas enam bulan menyarung jersi Gergasi Merah.

Perpisahan ini diumumkan sendiri pemain berusia 23 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram. Meskipun hanya sempat bersama Selangor selama setengah musim, Ji-ho tetap menghargai masanya bersama pasukan itu.

“Satu babak pendek tapi saya takkan lupakan. Terima kasih kepada kelab, barisan jurulatih, staf, rakan sepasukan dan penyokong atas sokongan sepanjang tempoh saya bersama Selangor FC.

“Ia satu penghormatan mewakili kelab ini dan mencipta memori yang akan kekal bersama saya untuk selamanya. Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua orang untuk musim hadapan,” katanya.

Susulan itu, ramai rakan sepasukan Merah Kuning mengucapkan selamat berjaya kepada Ji-ho. Antaranya Chrigor Moraes, Zikri Khalili, Harith Haiqal Adam Afkar, Syahir Bashah dan Alvin Fortes.

Ji-ho menyertai Selangor secara pinjaman sehingga baki musim 2025/26 dari kelab Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings. Beliau merekodkan 13 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol.

Meskipun hanya sempat bersama Selangor selama setengah musim, Ji-ho membantu kelab itu menamatkan musim di tempat ketiga Liga Super dan mara ke final Shopee Cup.

Pemain Korea Selatan itu menjadi pemain terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor selepas Samuel Somerville, Noor Al-Rawabdeh, Mohammad Abualnadi, Harry Danish Mohd Haizon, Raimi Shamsul dan Abdul Rahman Daud.