Pemain tengah Vietnam, Nguyen Quang Hai mengakui bahawa menentang Malaysia adalah bukan mudah, namun menentang Thailand adalah lebih sukar bagi Vietnam.
Pendedahan yang dibuat oleh pemain Vietnam itu yang berkata bahawa pasukan Thailand adalah satu-satunya batu penghalang buat Vietnam dalam saingan kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Beliau menyifatkan Malaysia bukan lawan yang mudah namun masih mampu mengawal permainan berbanding menentang Thailand yang dianggapnya sangat bertenaga dan berkeyakinan.
“Bertemu pasukan kebangsaan Malaysia mungkin bukan satu tugas yang mudah. Tetapi Thailand adalah satu-satunya pasukan yang memberikan masalah kepada Vietnam.
“Pasukan lain mungkin agak sukar untuk diatasi, tetapi kami masih lagi mampu mengawal permainan, berbeza dengan pasukan Thailand dimana mereka mempunyai satu tonik untuk bermain dengan cukup baik dan berkeyakinan tinggi.
“Walaupun pasukan Thailand tewas kepada Malaysia, mereka tidak menunjukkan apa yang mereka ada sebenarnya. Ketika bertemu Vietnam dalam perlawanan ke-2, mereka sangat sukar dan jika tidak kerana kehebatan Dang Lam, kami mungkin terpaksa berputih mata.
“Ketika mereka (Thailand) beraksi bertemu Vietnam, pemain-pemain mereka cenderung untuk bermain lebih baik dari biasa, seperti Malaysia yang beraksi lebih baik ketika bertemu Thailand. Namun, kami yakin semuanya dalam kawalan kami, berbeza dengan pertemuan dengan pasukan kebangsaan Thailand.
Ketika ini dalam saingan kumpulan G, Vietnam mendahului kedudukan dengan kutipan 11 mata, diikuti rapat oleh Malaysia dengan 9 mata. Vietnam juga muncul sebagai pasukan tunggal dalam kumpulan itu yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 5 perlawanan.