Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal mempertaruhkan muka baharu menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Rekod tanpa kalah Penang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) lebur apabila tunduk kepada Sang Kenari dalam aksi minggu keempat Liga Super pada 22 Jun lalu.
Penyerang Ghana, Ebenezer Assifuah menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-77 bagi memastikan Kedah pulang dengan tiga mata.
Selepas meneliti setiap aspek perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan, Akmal bersedia membuat beberapa perubahan kepada pasukan.
Ini bagi memastikan skuad Harimau Kumbang mempunyai bekalan selesa untuk aksi suku akhir kedua di Stadium Bandaraya pada 5 Julai ini.
“Ada beberapa perubahan yang akan saya lakukan. Akan ada pemain baru yang dibawa masuk dan akan ada perubahan posisi pemain dalam padang (atau) formasi.
“Jadi, saya harap dengan perubahan ini, kita akan lebih bersedia dan lebih tajam untuk menghadapi barisan pertahanan Kedah (yang) berpengalaman untuk menghasilkan jaringan,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Penang dan Kedah bakal berentap dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 di Stadium Darul Aman pada 28 Jun.