Penang Rancang Naik Taraf Stadium Bandaraya
MakanBola
Penang FC

Penang FC mendedahkan pasukan itu merancang menaik taraf stadium keramat mereka, Stadium Bandaraya.

Perancangan itu dikongsikan Pengurus Besar Sang Harimau Kumbang, Jeffrey Chew dalam sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini.

Jeffrey melihat perancangan itu sebagai menyahut seruan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk kelab-kelab menambah baik kualiti infranstruktur mereka.

Antara aspek infrastruktur yang dijangka dinaik taraf ialah padang rumput stadium. Jeffrey menjangkakan kerja penaiktarafan Stadium Bandaraya bakal mengambil masa antara enam hingga 10 bulan.

“Tahun ini, kita akan menyahut cabaran Tuanku (Tunku Ismail) untuk menaik taraf padang (Stadium Bandaraya). Stadium Bandaraya akan dinaik taraf,” katanya.

Jeffrey turut memaklumkan rancangan penaiktarafan ini turut mendapat sokongan penaja dan penyokong Penang terutama selepas final pertama MFL Challenge Cup pada awal April lalu.

“Saya rasa penaja dan penyokong kita sedar tentang kepentingan menaik taraf kemudahan kita,” tambahnya.

“Dengan mengadakan perlawanan (final pertama MFL Challenge Cup) pada malam itu, penaja kita gembira, penyokong kita juga gembira.”

Berita ini dijangka menyuntik semangat anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail untuk menamatkan kempen Liga Super musim 2025/26 dengan positif.