Pengadil Qatar Kemudi Aksi Final Piala Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan dari Qatar bagi mengadili aksi final Piala Malaysia 2025-2026 antara Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Empat pegawai terbabit terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku pengadil utama, dibantu Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai penolong pengadil 1 dan 2, manakala Meshari Ali Alshamari bertindak sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).

Kesemua mereka merupakan pengadil bertaraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain memegang status Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut FAM, keempat-empat pegawai itu memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk pernah mengendalikan kejohanan seperti Piala Dunia B-17 FIFA serta final Qatar Emir Cup.

Pelantikan pengadil luar negara itu dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan aksi final edisi ke-99 tersebut dikendalikan oleh pegawai terbaik.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama FAM menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi aksi final domestik apabila sebelum ini tiga pegawai dari Jepun dilantik untuk mengadili final Shopee Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di venue sama.

FAM turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk mutu pengadilan berada pada standard tertinggi selaras dengan reputasi Piala Malaysia sebagai kejohanan paling berprestij dalam arena bola sepak tempatan.