Kehadiran pemain Malaysia yang berkelana di Eropah, Dion Johan Cools bagi menguatkan pasukan negara menjelang kejohanan Piala AFF kali ini merupakan satu suntikan semangat tatkala kehilangan beberapa tonggak utama pasukan pastinya merencatkan sedikit sebanyak perancangan pasukan ketika ini.


Sebelum ini, Malaysia terpaksa melupakan khidmat beberapa orang pemain seperti Akram Mahinan dan juga Kenny Pallraj yang dilaporkan mengalami kecederaan ketika beraksi di pentas akhir Piala Malaysia baru-baru ini.


Selain itu, khidmat pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan penjaga gol, Azri Abd Ghani yang turut dilaporkan cedera telah memaksa Tan Cheng Hoe untuk memanggil Arif Aiman dan juga Kalamullah Al-Hafiz untuk mengisi kekosongan tersebut.

Namun begitu, kehadiran Cools yang mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas terbesar seperti Liga Juara-Juara bersama Club Brugge sebelum ini terus ditagih bagi menguatkan pasukan negara.


Sungguhpun baru sahaja pulih daripada kecederaan, Cools telah pun beraksi dalam perlawanan di peringkat kelab termasuklah ketika menentang Velje baru-baru ini. Kemampuan pemain kelahiran Belgium-Malaysia ini beraksi di pelbagai posisi di bahagian pertahanan dan juga pemain tengah seperti ketika menentang pasukan tercorot Liga Denmark pasti memberi kelebihan kepada Malaysia.

Cools juga sebelum ini sudah melaungkan azam untuk membantu pasukan negara merangkul kejuaraan pada edisi kali ini setelah terpaksa berpuas hati meraih naib juara pada tahun 2018.


Dalam satu hantaran oleh Goal Asia, kebolehan pemain berusia 25 tahun ini untuk beraksi di pelbagai posisi pertahanan ketika menentang gergasi Eropah seperti Manchester United, Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara dan juga pengalaman bersama pasukan muda Belgium menjadi aset terbesarnya untuk membantu Harimau Malaya.

Walaupun dijangka menyertai kem negara pada perlawanan ke-4 menentang Indonesia, namun kehadiran Cools memberi impak positif untuk menguatkan bahagian kritikal pasukan negara.