Advertisement
Pengalaman Harimau Malaya Aset Fazrul Amir Bantu Kelantan DN
Piala Malaysia
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Pemain sayap kebangsaan, Fazrul Amir Md. Zaman mahu memanfaatkan pengalaman pasukan itu untuk membantu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) meraih kemenangan dalam Piala Malaysia.

Fazrul terpilih menyertai skuad Harimau Malaya untuk aksi menentang Laos dan India. Beliau masuk menggantikan Mukhairi Ajmal Mahadi yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memberi peluang kepada Fazrul beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan berkenaan. Meskipun beraksi dalam tempoh yang singkat, aksinya menjadi bualan penyokong terutama dari negeri Kelantan.

Atas sebab itu, Fazrul yang mesra disapa Ghaddar itu berharap dapat membantu Sang Kijang Emas menewaskan Perak FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia.

“Satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan setelah diberikan peluang bersama pasukan kebangsaan. Saya yakin pengalaman ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin pada pertemuan dengan Perak.

“Yang penting, momentum saya diteruskan sekaligus dapat membantu KDN FC mencari bekalan selesa sebelum perlawanan kedua nanti,” katanya.

Sementara itu, Fazrul melihat Kelantan DN memiliki peluang baik untuk mara ke peringkat suku akhir. Pada masa sama, pasukan Pantai Timur itu perlu berwaspada dengan cabaran Perak.

Ini kerana The Bos Gaurus pernah menewaskan Sang Kijang Emas 3-2 di Kota Bharu pada 26 Julai lalu. Justeru, mereka perlu berjuang habis-habisan untuk mendapatkan bekalan gol sebelum aksi kedua di Manjung.

“Kami perlu bersedia sebaik mungkin supaya tidak dikejutkan. Kami kena berhati-hati. Tidak boleh terburu-buru”.

“Perak pernah menewaskan kami sekali namun ketika ini KDNFC juga sudah berubah. Maka Perak pasti hadir dengan waspada kerana mereka masih ada perlawanan di gelanggang sendiri.

“Oleh itu, kami kena berjuang habis-habisan dan cuba mendapatkan bekalan gol agar perjalanan perlawanan kedua akan menjadi lebih mudah serta kurang tekanan,” ujarnya.

Kelantan DN bakal berdepan Perak di Stadium MBPJ untuk aksi pertama pusingan 16 terbaik pada 22 November. Ini disusuli aksi kedua pusingan tersebut di Manjung pada 30 November.