Pengurusan Terengganu Terkilan, Jawab Tuduhan Nafuzi Zain

Nafuzi Zain 2 Pengurusan Terengganu Terkilan, Jawab Tuduhan Nafuzi Zain
Foto: csnsportstalk
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Pihak pengurusan Terengganu FC menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid bin Jusoh menzahirkan perasaan terkilan terhadap kenyataan media dikeluarkan oleh Ketua Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.

Menurutnya, kelab telah menawarkan kontrak lanjutan mengikut nas undang-undang namun terkilan dengan kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Untuk menjawab isu berkenaan pihak pengurusan TFCSB berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan perkara yang berlegar di setiap ruang media pada ketika ini yang melibatkan pengendali pasukan Terengganu FC, Nafuzi Zain ( Pegawai ) adalah kerana pihak pengurusan memilih untuk mengutamakan fokus pasukan dalam saingan Liga Malaysia yang pada ketika ini masih berlangsung demi untuk mencapai sasaran pasukan sepertimana yang telah ditetapkan diawal musim. Ini kerana kita melihatkan motivasi dan reputasi pasukan pada ketika ini berada di tahap terbaik dan ianya perlu diteruskan dan dijaga agar fokus para pemain khususnya tidak terganggu.

“Namun begitu, apa yang telah dilakukan oleh pengendali pasukan ini sendiri amatlah mengejutkan pihak pengurusan apabila secara terang-terangan telah membuat kenyataan media yang membidas pihak pengurusan dan ini sedikit sebanyak telah mencalarkan perhubungan diantara dua pihak.

“Pihak pengurusan pada awalnya bertindak untuk hanya berdiam diri atas dasar tidak ingin fokus pasukan terganggu, namun dilihat perkara ini terus berlarutan apabila pengendali Terengganu FC ini terus menerus membuat kenyataan media yang sekaligus merosakkan imej kelab ini dan ini memaksa pihak TFCSB terpaksa memberi penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit demi untuk menjaga maruah kelab dan pengurusan ini.

“Berdasarkan isu lambat menawarkan kontrak profesional kepada ketua jurulatih tersebut, merujuk kepada Perkara 9 : Melanjutkan tempoh kontrak, 9.1 : Kelab hendaklah dalam masa 30 Hari sebelum tamat kontrak ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak. Pihak kelab juga mengesahkan telahpun mengutuskan surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang telah disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB kepada pegawai sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022. 9.3 Pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab menerima/menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma-terma kontrak dalam masa 14 hari. Pihak majikan telahpun mematuhi terma dalam kontrak ini dengan menawarkan kontrak pada pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dalam perkara 9.

“Perkara ini menjawab kepada persoalan menuduh pihak pengurusan melengah-lengahkan penawaran lanjutan kontrak kepada pegawai. Namun demikian, dalam tempoh tersebut pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pegawai sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media.

Pihak pengurusan Terengganu turut menjelaskan bahawa mereka terkilan apabila dimaklumkan bahawa Nafuzi Zain telahpun berunding dan menandatangani kontrak lebih awal bersama salah satu pasukan Liga Super pada Ogos lalu.

“Sebagai seorang pegawai yang telah menabur khidmat bersama pasukan bolasepak di negeri Terengganu sejak 7 tahun lepas, ianya sesuatu yang amat mendukacitakan apabila beliau cuba mengakhirinya dengan cara seperti ini.

“Pihak TFCSB akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil kepada pihak pegawai di atas segala kenyataan dan perkara yang telah beliau lakukan kerana ianya telahpun mencalarkan imej kelab ini secara nyata.” Jelas Ab Rasid bin Jusoh.

Sebelum ini semasa sesi sidang media selepas perlawanan suku akhir di antara pasukan Terengganu dan KL City, Nafuzi Zain menzahirkan perasaan kecewanya apabila kontrak lanjutan ditawarkan menerusi kitman dan bukan secara bersemuka bersama pihak pengurusan.

Menerusi tinjauan di media sosial juga, rata-rata penyokong turut bersimpati dengan nasib diterima Nafuzi dan mahukan jurulatih itu diberikan layanan lebih baik.