Terengganu dilihat bernafsu besar dalam membina pasukan untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia musim depan. Skuad Penyu bukan saja dikatakan mengintai khidmat penyerang Croatia, Ivan Mamut. Malah, difahamkan pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner itu mengintai khidmat penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.
Kraisorn hadir dengan reputasi besar sebagai penyerang berbisa skuad Gajah Perang. Beliau saja membantu pasukan bawah 23 tahun Thailand menggondol pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Myanmar. Malah, bekas penyerang Buriram United itu turut membantu Gajah Perang menjulang Piala AFF edisi 2014 dan 2020.
Difahamkan penyerang Thailand itu sudah tamat kontrak dengan majikan lamanya Muangthong United. Ini ditambah dengan Kraisorn menghabiskan tempoh dua tahun terakhir secara pinjaman di Port FC. Walaupun mendapat tawaran satu lagi kelab Liga Thailand 1, Lamphun Warriors, bekas penyerang BEC Tero Sasana itu inginkan cabaran baru dan mengintai peluang mewarnai Liga Malaysia musim depan.
Sekiranya dua spekulasi perpindahan ini bakal menjadi kenyataan, gandingan Mamut dan Kraisorn dijangka bakal memantapkan barisan serangan Terengganu musim hadapan. Ketika ini, penyerang berusia 31 tahun itu bersama pasukan kebangsaan Thailand bagi menghadapi cabaran Piala AFF 2022 yang bakal bermula pada 20 Disember ini.