Penyokong Puas Hati Keadaan Padang Terkini SNBJ, Terima Kasih TMJ

TMJ SNBJ Penyokong Puas Hati Keadaan Padang Terkini SNBJ, Terima Kasih TMJ
JST/HaziqMakanBola
Nik Faris @nikfalovic
6:36pm 17/11/2023

Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam menjadi antara sebab penting yang membolehkan Malaysia memperagakan aksi terbaik untuk menewaskan Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3.

Ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih perlu diberikan kepada Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) atas jasanya untuk menawarkan penukaran rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

DYAM TMJ telah pun menaja sepenunya kos penukaran rumput di Bukit Jalil sekaligus memberikan pengalaman baharu kepada para pemain mempamerkan persembahan kelas tinggi.

Sungguhpun padang Zeon Zoysia menerima kritikan pada aksi Pestabola Merdeka 2023 susulan keadaan padang yang tidak bersedia, kini situasinya sudah berubah sama sekali.

Padang di Bukit Jalil kini telah berada dalam keadaan lebih bersedia dengan akarnya juga kelihatan lebih kuat berbanding ketika kali pertama digunakan pada aksi Pestabola Merdeka tempoh hari.

Keadaan ini juga membolehkan para pemain terutamanya tonggak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah biasa beraksi atas padang Zeon Zoysia memberikan aksi kelas pertama.

Percaturan yang diinginkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon juga dapat direncanakan dengan lancar sekaligus merealisasikan impian besar peminat bola sepak untuk melihat aksi bertaraf tinggi di gelanggang keramat Harimau Malaya.

Usaha DYAM TMJ juga perlu diberi penghargaan tertinggi kerana baginda merupakan satu-satunya individu yang menawarkan penukaran rumput secara percuma demi masa depan bola sepak Malaysia.

Terima kasih TMJ, jasamu terlalu besar buat bola sepak Malaysia.