Pengendali Manchester City, Pep Guardiola seolah-olah terkesima apabila diajukan soalan oleh wartawan mengenai perkembangan pasukan-pasukan besar yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Antara pasukan yang ditanyakan kepada Guardiola adalah Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Manchester United. Namun begitu reaksi ketawa terlihat pada riak wajah Guardiola apabila ditanyakan mengenai musuh setempat, Manchester United.
“Pasukan-pasukan besar kini sudah mula menjarakkan kedudukan (carta EPL). Anda tahu betapa hebatnya Arsenal, semalam saya menyaksikan mereka beraksi di Goodison Park (menentang Everton), mereka sangat luar biasa. Liverpool juga punyai mentaliti terbaik,” jelas Guardiola.
“Bagaimana pula dengan Manchester United?,” tanya seorang wartawan.
“(Ketawa), mereka masih belum bermula. Saya rasa mereka jangka seperti Chelsea. Tapi saya percaya Manchester United dan Chelsea lambat laun akan menjumpai rentak mereka,” jelasnya lagi dalam satu temubual.
Manchester United kini berada di kedudukan yang tidak memberangsangkan selepas terperosok di tangga ke-13 liga dengan perlawanan terakhir mereka berakhir dengan kekalahan 1-3 kepada Brighton di laman sendiri.