Bagi mengharungi cabaran Liga Super musim depan, Perak terus memantapkan pasukan dengan membawa masuk seorang legenda dapat menyokong ketua jurulatih Lim Teong Kim. Legenda yang dimaksudkan ialah bekas penyerang berbisa Perak, V. Saravanan.
The Bos Gaurus mengumumkan perlantikan Saravanan sebagai penolong jurulatih untuk musim 2023 hari ini. Beliau memeterai kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan kontrak selama semusim sekiranya berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pasukan.
Kehadiran semula bekas penyerang negara itu bakal mengubat kerinduan ramai penyokong Perak. Sejak 2011, Saravanan berkelana ke Finland dan diberi kepercayaan mengendali pasukan bawah 13 tahun gergasi Finland, HJK Helsinki.
Ramai percaya penglibatannya dalam pembangunan akar umbi dan arif dengan bola sepak Eropah menjadi faktor beliau dipilih sebagai pembantu Teong Kim.
Seperti diketahui umum, Teong Kim amat cenderung dengan falsafah bola sepak Jerman selepas terlibat dalam pembangunan akar umbi pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich.
Dengan perlantikan ini, Saravanan bakal bergandingan dengan rakan lama dan legenda Perak Raja Azlan Shah Raja Shoib. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada pasukan yang menjulang Piala Malaysia 1998 dan 2000.
Magis dua figura ini diharap dapat membantu Teong Kim menjadikan Perak sebagai pasukan berkaliber menjelang saingan Liga Super musim 2023.