Advertisement
Perubahan Saat Akhir Beri Kejayaan Besar Kepada JDT Racing Team
UltraSukan
UltraSukan
JDT Racing Team

Risiko yang diambil oleh JDT Racing Team ketika perlumbaan kedua Asian Road Racing Championship (ARRC) minggu lalu ternyata membuahkan hasil yang positif.

Pada Ahad lalu, JDT Racing Team yang ditunjangi oleh pelumba terkenal tanah air, Hafizh Syahrin berjaya meraih tempat kedua dalam perlumbaan kedua setelah hampa gagal menamatkan aksi dalam perlumbaan pertama sehari sebelum itu.

Hafizh yang ditemu bual dalam rancangan Nadi Arena menjelaskan bahawa masalah teknikal yang dihadapi pada perlumbaan pertama disyaki akibat masalah yang terdapat pada enjin jenteranya.

Walau bagaimanapun, masalah tersebut tetap berlaku ketika sesi pemanas badan pada keesokan pagi meskipun enjin sudah ditukar baharu sehingga lewat malam sebelumnya.

”Sebenarnya pasukan membuat pertukaran enjin pada mulanya kerana kita periksa ada yang tidak kena dengan enjin. Jadi, kita tukar enjin baru tetapi di sesi pemanas badan pada Ahad pagi, masalah tetap sama,” katanya kepada Astro Arena.

“Jadi kita dah syak perkara lain dan bukannya masalah enjin sebab kenapa kita periksa enjin dahulu sebab kita periksa dekat piston yang pertama ada minyak yang terlalu banyak berbanding piston yang lain. Jadi, pasukan kami buat keputusan untuk tukar enjin sampai lewat malam Sabtu.

“Pada hari Ahad, saya lakukan sesi pemanas badan pada pagi tetapi keadaan motor masih sama, jadi saya tak dapat tingkatkan keserasian saya bersama motor untuk bawa ke perlumbaan kedua,” tambah pelumba kelahiran Ampang itu

Pelumba berusia 30 tahun ini turut gusar pada mulanya dan merasakan ianya bagai satu pertaruhan baginya untuk berlumba tanpa keserasian bersama jenteranya yang telah diubahsuai oleh mekanik pasukan dalam masa yang singkat.

“Sampailah ke sesi pemanas badan, saya terpaksa tinggalkan sesi tersebut (selepas) 20 minit dan pasukan kami menukarkan semua elektronik yang berada di motor dan ia macam satu pertaruhanlah saya pergi ke perlumbaan itu tanpa serasi dengan motor.”

”Alhamdulillah kami dapat meraih tempat kedua walaupun keadaan tak 100 peratus dan saya gunakan sebanyak mana pengalaman yang saya ada apabila berada di atas jentera itu dengan stamina yang saya ada.”

Kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat kedua minggu lalu bakal memberi suntikan motivasi buat Hafizh dan JDT Racing Team bagi menghadapi pusingan kedua ARRC di Zhuhai, China pada 19 hingga 21 April hadapan.