Ketua jurulatih Kelantan The Real Warrior (TRW), Akmal Rizal melihat transisi perubahan memberikan kelebihan untuk Selangor ketika aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium MBPJ pada Jumaat.
Selangor dan Kelantan TRW bertemu dalam aksi timbal balik kedua pusingan 16 Piala Malaysia selepas Sang Gergasi Merah membawa pulang kelebihan tipis hasil kemenangan 2-1 lalu.
Misi Kelantan TRW bangkit mengatasi defisit bagaimanapun tidak kesampaian apabila dua jaringan Chrigor Moraes serta satu gol Faisal Halim memberikan kemenangan agregat 5-1 untuk Selangor di Kelana Jaya.
Menurut Akmal Rizal, para pemainnya tewas kepada lawan yang lebih baik meskipun berhasil menerapkan pelan yang diatur sebelum Selangor membuat perubahan yang berjaya mencetak gol.
”Kita tumbang kepada pasukan yang jauh lebih baik dari kita. Selangor mempunyai pemain yang lebih berkualiti dan squad depth lebih baik dari kita,” ulas Akmal Rizal secara ringkas.
”Pelan kita hari ini adalah untuk memberikan tekanan buat Selangor dan kita berjaya melakukan itu.”
”Tetapi, ada perubahan posisi yang dilakukan oleh Selangor yang (bantu) mereka menguasai bahagian tengah serta ada sedikit kelekaan yang membolehkan mereka menjaringkan 2 gol di babak pertama.”
Malah, beliau turut melihat kekurangan lawan yang terpaksa bermain dengan 10 pemain kira-kira 30 minit tidak memberi kesan setelah para pemainnya sekali lagi dihukum gara-gara kelekaan.
“Separuh masa kedua walaupun Selangor bermain dengan 10 pemain namun kita cuba memberi tekanan dan kelekaan di barisan belakang yang telah dihukum dengan jaringan ke-3.”
“Jadi saya rasa agak terlewat selepas ketinggalan 3 gol untuk kita kembali bangkit,” luah beliau selepas perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan Kelantan TRW akan meneruskan aksi di MFL Challenge Cup tatkala Selangor bakal membawa cabaran ke suku akhir Piala Malaysia menentang sama ada Negeri Sembilan atau Imigresen.