Aksi final Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Lubnan bakal menjanjikan aksi menarik buat para penyokong.
Ini kerana aksi final ini bukan saja menentukan siapa bakal bergelar juara Pestabola Merdeka 2024. Malah, ini sebenarnya peluang buat Harimau Malaya membalas dendam dengan The Cedars.
Kedua-dua pasukan pernah berentap dalam dua aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019. Lubnan dan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Utara dan Hong Kong.
Malaysia tidak bernasib baik dalam kumpulan berkenaan apabila pasukan itu tewas sebanyak dua kali kepada Lubnan.
Harimau Malaya tewas 2-1 kepada The Cedars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 13 Jun 2017. Magis dua gol bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rabih Ataya memadamkan gol awal yang dijaringkan Mahali Jasuli.
Hasrat skuad negara mencuri satu mata di Beirut turut digagalkan Lubnan pada 27 Mac 2018. Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan buat Malaysia selepas ketinggalan awal menerusi gol Hassan Maatouk.
Tatkala kem negara menyangka dapat pulang ke Kuala Lumpur dengan satu mata, Hilal El-Helwe menjaringkan gol kemenangan Lubnan pada minit akhir perlawanan.
Menariknya, jurulatih Lubnan untuk kedua-dua perlawanan tersebut ialah Miodrag Radulovic. Ini juga menjelaskan mengapa pengendali Montenegro itu teruja untuk kembali berentap dengan skuad negara.
Aksi ini turut menyaksikan beberapa pemain negara dan Lubnan bakal bersemuka buat kali ketiga. Harimau Malaya diwakili oleh Akhyar Rashid dan Matthew Davies.
Manakala Lubnan pula diwakili oleh Mohamad Haidar, Kassem El Zein dan Ataya. Kehadiran pemain-pemain ini dijangka menghangatkan lagi aksi membabitkan kedua-dua pasukan.
Harimau Malaya dan The Cedars bakal berentap di SNBJ pada 8 September ini bagi menentukan juara Pestabola Merdeka 2024.