Hasrat jurulatih Lubnan untuk berdepan pasukan Malaysia dalam kejohanan Pestabola Merdeka tampaknya sudah menjadi kenyataan.
Lubnan yang dibimbing oleh Miodrag Radulovic mencipta kejutan menewaskan juara bertahan, Tajikistan 1-0 dalam aksi pertama Pestabola Merdeka pada petang Rabu.
Manakala skuad Harimau Malaya pula pamer kebangkitan bagi mengecewakan Filipina hasil gol Syamer Kutty dan Safawi Rasid untuk membawa Malaysia ke final buat kali kedua berturut-turut.
Terdahulu dalam sesi sidang media, Radulovic menyatakan harapannya agar pasukan negara mampu mara ke aksi final kerana beliau mahu melihat ramai penyokong di hari perlawanan.
”Saya mahu Malaysia (ke perlawanan akhir) kerana para penyokongnya. Saya menjangkakan akan ada ramai peminat berada di final nanti,” ujar Radulovic selepas aksi bertemu Tajikistan.
”Itulah sebabnya, apa-apa pun kami akan pergi melihat perlawanan (Malaysia dan Filipina) dahulu,” tambah bekas pengendali Montenegro ini.
Kali terakhir skuad negara berdepan Lubnan adalah pada 27 Mac 2018 yang mana Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe ketika itu tewas 1-2 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019.
Dua gol Lubnan dijaringkan oleh kapten, Hassan Maatouk dan Hilal El Helwe manakala jaringan tunggal skuad negara disimbangkan oleh Syafiq Ahmad hasil tandukan deras.
Malaysia dan Lubnan bakal bertemu di aksi final Pestabola Merdeka pada 8 September jam 9 malam tatkala Filipina dan Tajikistan akan berentap dalam aksi penentuan tempat ketiga.