Pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic puas melihat skuad bimbingannya menewaskan Tajikistan dalam aksi pertama Pestabola Merdeka pada Rabu.
Dalam aksi tersebut, jaringan awal pemain Lubnan, Jihad Ayoub pada minit ke-13 kekal sehingga tamat permainan sekaligus meranapkan impian juara bertahan, Tajikistan untuk mara ke final.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Radulovic berpuas hati dengan persembahan dan memuji semangat juang pemain untuk mara ke final meski hadir dengan barisan baharu.
”Saya berpuas hati dengan permainan, kemenangan, cara para pemain bermain (pada petang ini) ,” ujarnya ketika di sesi sidang media pasca perlawanan.
”Kami datang ke sini (Malaysia) untuk mencuba barisan dan gabungan pemain baru namun kita berjaya mara ke final. Kami capai sasaran dan tahniah buat semua pemain.”
“Semasa sidang media pra perlawanan semalam, saya ada memberitahu bahawa sasaran kami untuk membalas dendam (kekalahan kepada Tajikistan) di Piala Asia lalu.”
Keputusan ini menyaksikan Tajikistan akan berentap di aksi penentuan tempat ketiga manakala Lubnan akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 8 September ini.
Lawan Tajikistan dan Lubnan nanti akan ditentukan setelah aksi melibatkan skuad Harimau Malaya serta Filipina tamat pada sebelah malam ini.