Petanda Kuat Bergson, JDT & Harimau Malaya
MakanBola
Johor Southern Tigers

Petanda kuat mula mengaitkan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dengan Harimau Malaya.

Pemain berusia 35 tahun itu sudah memasuki tahun kelimanya di Malaysia sekali gus berpotensi untuk dinaturalisasikan sebagai pemain tempatan.

Hasrat untuk melihat pemain ini bersama pasukan kebangsaan semakin kuat dengan tonggak kelahiran Brazil ini konsisten meledak 14 jaringan dalam 14 perlawanan. 

Baru-baru ini, Bergson pada satu sesi temu bual memberikan bayangan bahawa tempohnya untuk bersama Harimau Malaya semakin hampir.

”Saya juga tahu mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan mari kita lihat apa akan berlaku, mungkin saya mampu beri sumbangan (kepada Harimau Malaya).

”In Shaa Allah,” jawab Bergson secara ringkas kepada Astro Arena tentang peluang bekerjasama dengan Peter Cklamovski.

Beliau juga mengakui sering mengikuti perkembangan pasukan kebangsaan yang mempamerkan persembahan konsisten di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia itu.

”Saya pun teruja melihat rakan sepasukan di JDT yang beraksi bersama skuad kebangsaan.”

Sebelum ini, Peter ada memberi bayangan tentang peluang Bergson bersama Harimau Malaya menerusi satu hantaran di laman Instagramnya.

Sejak tiba di JDT, Bergson sudah pun meledak 171 jaringan selain menyumbang 32 bantuan gol dalam 167 penampilan dan meletakkan beliau sebagai penyerang prolifik pasukan Harimau Selatan.