Bayangan oleh jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengenai status Bergson mendapat maklum balas positif daripada penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Minggu lalu, Peter Cklamovski menerusi suatu hantaran di laman Instagram seakan-akan memberi bayangan baharu mengenai status Bergson bersama pasukan kebangsaan.
Hal ini selepas beliau mengulang siar temu bual Astro Arena bersama Bergson dan meninggalkan emoji Malaysia selepas penyerang kelahiran Brazil itu membantu JDT menewaskan Selangor.
Dalam satu kenyataan, Bergson mengucapkan terima kasih buat Peter Cklamovski kerana menyokong kariernya selain sempat memuji kerja keras jurulatih dari Australia itu untuk pasukan negara.
”Terima kasih di atas sokongan itu kerana beliau (Peter Cklamvoski) seorang jurulatih yang bagus, saya ikuti tugas beliau kerana mengikuti perkembangan Harimau Malaya.”
”Saya pun teruja melihat rakan sepasukan di JDT yang beraksi bersama skuad kebangsaan,” kata Bergson kepada Astro Arena.
Ketika ditanya mengenai peluang bekerjasama dengan Peter Cklamovski di pasukan kebangsaan, Bergson tidak menolak sebaliknya meminta orang ramai untuk menunggu sebarang perkembangan terkini.
”Saya juga tahu mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan mari kita tunggu apa akan berlaku, mungkin saya mampu beri bantuan.”
”In Shaa Allah,” jawab Bergson ringkas tentang peluang bekerjasama dengan Peter Cklamovski.
Untuk rekod, tahun 2026 merupakan tahun kelima Bergson berada di Malaysia, sekaligus membuka peluang besar buat pemain itu dinaturalisasikan dan membantu skuad Harimau Malaya.
Sejak tiba di JDT, Bergson sudah pun meledak 171 jaringan selain menyumbang 32 bantuan gol dalam 167 penampilan dan meletakkan beliau sebagai penyerang prolifik pasukan Harimau Selatan.