Desas-desus penajaan dari syarikat gergasi Petronas terhadap pasukan Perak FC mula tersebar dan ianya kini mula bertiup kencang selepas muat naik terbaru di halaman rasmi pasukan Perak.
Berdasarkan muat naik terbaru Perak, mereka menunjukkan serigala dengan mata hijau seolah sedang memberi bayangan sesuatu yang luar biasa bakal diumumkan pada 12 Oktober ini.
Walaupun tiada siapa tahu maksud sebenar hantaran terbaru dari media rasmi Perak tersebut, namun terdapat penyokong mula membuat teori berdasarkan tajaan yang diberikan beberapa syarikat gergasi kepada pasukan motosikal TKKR Racing yang turut dikemudi oleh Bobie Farid, CEO Perak.
Berdasarkan hantaran teori yang dibuat oleh halaman Info Bolasepak Perak dan beberapa individu lain, 3 syarikat gergasi dunia menjadi penaja kepada TKKR Racing iaitu BMW, Dunlop dan syarikat global tempatan, Petronas.
“Jika TKKR boleh dapat tajaan dari BMW, Dunlop dan Petronas, ada kemungkinan Perak FC jugak bakal ditaja oleh entiti yg lebih kurang sama.” Jelas Muhammad Hanis Redzuan di Facebook.
Berdasarkan tinjauan dibuat oleh pihak MakanBola di Twitter pula, rata-rata penyokong bola sepak ternyata teruja seandainya perkara ini benar-benar terjadi.
Kerjasama dan tajaan dari penaja buat pasukan Perak dilihat amat berbaloi dan bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Perak merupakan antara pasukan yang memiliki jumlah penyokong yang luar biasa disamping memiliki sentimen yang kuat dari para penyokong.
Perak juga kini dikemudi oleh Lim Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih dan bakal beraksi di Liga Super menjelang musim 2023.