Piala AFF: Singapura Kerja Keras Kalahkan Laos
Piala AFF
Astro Arena
Advertisements

Singapura berjaya mengelak daripada dimalukan Laos apabila membenam pasukan tuan rumah 2-0 dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional New Laos hari ini.

Sebaik sepak mula, Singa Kallang mula mengintai peluang membolosi gawang Laos yang dikawal Keo Oudone Souvannasangso. Tetapi Laos paling hampir memecah kebuntuan pada minit ke-11 menerusi sepakan dari luar kotak penalti Soukaphone Vongchiekam tetapi berjaya ditangkap penjaga gol Hassan Sunny.

Singapura berdepan kesukaran menembusi pertahanan Laos di mana semua pemain berkubu dan sekali-sekala naik melancarkan serangan. Mereka kemudiannya dianugerahkan sepakan percuma pada minit ke-24. Tetapi sepakan percuma Shahdan Sulaiman berjaya ditangkap Souvannasangso.

Advertisements

Kesungguhan Singa Kallang memburu gol akhirnya berhasil pada minit ke-33 menerusi Irfan Fandi. Sepakan percuma tinggi yang diambil Zulfahmi Arifin mudah ditanduk masuk bek tengah BG Pathum United ke penjuru atas gawang menewaskan penjaga gol Lao Army itu.

Gol tersebut memberi keyakinan Singa Kallang untuk memburu gol kedua. Tetapi kecenderungan Singapura memburu gol hampir memakan diri apabila penyerang muda Laos, Chony Waenpaseuth meledakkan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-45. Bagaimanapun, rembatan penyerang kelab Ezra itu langsung tidak mencemaskan Hassan kerana ia jauh tersasar. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Laos yang dibimbing Michael Weiss hampir menyamakan kedudukan menerusi Phithack Kongmathilath pada minit ke-46. Sepakan dari luar kotak penalti pemain Nakhon Pathum United itu berjaya menewaskan Hassan tetapi dinafikan palang. Tiga minit selepas itu, Souvannasangso dua kali menafikan percubaan Faris Ramli.

Advertisements

Melihat Singa Kallang berdepan kesukaran menembusi pertahanan Laos, jurulatih Singapura Takayuki Nishigaya memasukkan Shawal Anuar, Amy Recha dan Shah Shahiran. Manakala Weiss pula memasukkan Kydavone Souvanny dan Phoung Phounsavath bagi membantu Laos memburu gol penyamaan.

Pertukaran yang dibuat menyaksikan Laos terus menguji kecekapan Hassan. Pada minit ke-72, bek kiri Phoutthavong Sangvilay membuat satu hantaran kepada Souvanny sebelum penyerang Young Elephants itu mara ke kotak penalti Singapura. Bagaimanapun, cubaannya melorongkan bola kepada pemain Laos dalam kotak penalti berjaya dipintas oleh bekas penjaga gol Lion City Sailors itu.

Singapura yang memburu gol kedua kemudiannya menguji Souvannasangso menerusi percubaan Ryhan Stewart pada minit ke-79. Bagaimanapun, percubaan bek kanan Chiangmai FC itu melepasi palang selepas mendapat umpanan Shah.

Advertisements

Tatkala Laos sibuk memburu gol penyamaan, Singapura melancarkan serangan pantas ke arah gawang tuan rumah menerusi Shah pada minit ke-90. Amy melarikan bola ke kotak penalti Laos sebelum melorongkan bola kepada pemain Young Lions itu tetapi sepakannya lemah dan tidak mengenai sasaran.

Dengan perlawanan hampir tamat, Singapura menambah gol kedua menerusi Shawal. Kesilapan Souvannasangso mengawal bola segera dirampas penyerang Lion City Sailors sebelum melarikan bola ke arah gawang lawan. Walaupun cuba disekat penjaga gol Lao Army itu, Shawal mudah menolak bola ke dalam gawang Laos. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tipis ini menyaksikan Singapura kekal di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Vietnam. Sementara Laos pula menduduki tangga tercorot Kumpulan B. Singapura bakal berdepan Vietnam di Stadium Jalan Besar pada 30 Disember. Manakala Laos pula berdepan Myanmar pada hari yang sama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram