Piala AFF: Gol Magis Yooyen Bantu Thailand Ikat Indonesia
Piala AFF
Astro Arena
Advertisements

Thailand terus membuktikan keunggulan sebagai juara bertahan Piala AFF selepas mengatasi Indonesia dalam aksi keempat Kumpulan A Piala AFF 2022 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini.

Sebaik sepak mula, Tim Garuda hampir mendahului seawal minit pertama menerusi Witan Sulaeman selepas menerima hantaran Egy Maulana Vikri. Bagaimanapun, ia berjaya ditampan dan ditangkap penjaga gol Thailand, Kittipong Phuthawchueak sebelum sempat disambar Witan.

Pasukan Gajah Perang kemudiannya menguji gawang Indonesia melalui sepakan percuma Theerathon Bunmathan pada minit ke-15. Bagaimanapun, sepakan tersebut hanya mengenai bahagian sipi gol.

Advertisements

Dua minit selepas itu, giliran Indonesia pula melancarkan serangan balas menerusi Dendy Sulistyawan. Hantaran lintang pemain pertahanan Yakub Sayuri dari sebelah kanan cuba ditanduk penyerang Bhayangkara itu tetapi ia tidak mengenai sasaran.

Tuan rumah terus cemas apabila pasukan pelawat hampir mendahului menerusi Bordin Phala pada minit ke-22. Phala yang tidak dikawal cuba menanduk sepakan sudut yang diambil Bunmathan tetapi tandukannya juga hanya melepasi bahagian tepi gol.

Beberapa minit selepas itu, Witan berjaya memintas satu hantaran bola Gajah Perang sebelum melarikan bola ke kotak penalti pelawat. Dia cuba melorongkan bola kepada Egy Maulana tetapi bola hantarannya terlampau kuat sekaligus memudahkan Thailand mengeluarkan bola dari pertahanan mereka.

Advertisements

Peluang keemasan Tim Garuda mendahului hadir pada minit ke-39 apabila Witan berjaya merebut bola daripada Phuthawchueak. Malangnya, cubaan pemain tengah AS Trencin itu memasukkan bola dalam gawang Thailand yang kosong gagal sama sekali. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Indonesia dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-48 selepas bola hantaran Asnawi Mangkualam terkena tangan Bunmathan. Bekas pemain tengah Ross County, Marc Klok tenang menyempurnakan penalti menewaskan Phuthawchueak bagi meletakkan Indoensia di hadapan.

Tersentak, Gajah Perang cuba bangkit. Malangnya, Thailand dipaksa bermain dengan 10 orang selepas Sanrawat Dechmitr dibuang padang selepas melakukan terjahan merbahaya terhadap Saddil Ramdani pada minit ke-63.

Advertisements

Indonesia hampir menambah gol kedua menerusi Asnawi pada minit ke-71 tetapi sepakannya melepasi palang. Seminit selepas itu, Teerasil Dangda hampir menyamakan kedudukan tetapi bola sepakannya berjaya disekat Argawinata sebelum dikeluarkan pertahanan Tim Garuda.

Jurulatih Thailand, Mano Polking kemudiannya memasukkan Adisak Kraisorn menggantikan Dangda bagi memburu gol penyamaan. Dan hasilnya, Gajah Perang berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol jarak jauh Sarach Yooyen pada minit ke-79. Indonesia terus mengasak tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun seri, itu sudah cukup untuk Thailand kekal sebagai pendahulu dengan kelebihan jaringan. Kini, mereka perlu menang atau seri dengan Kemboja jika mahu layak sebagai juara Kumpulan A pada 2 Januari 2023. Manakala Indonesia pula perlu menewaskan Filipina pada hari sama dan berharap Kemboja mencipta kejutan terhadap anak-anak buah Polking.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram