Piala Asia B-23: Malaysia Ditunjukkan Jalan Keluar Selepas Mudah Dibenam Thailand
Asia
FA Malaysia
Advertisements

Perlawanan kedua Piala Asia Bawah 23 (B-23) ini menemukan pasukan Malaysia kendalian Brad Maloney bertemu dengan Thailand. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Thailand dengan keputusan 3-0 menewaskan Malaysia dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan.

Gol-gol Thailand dijaringkan oleh Suphanat Mueanta (2 gol) dan satu lagi gol dijaringkan oleh pemain lincah mereka Channarong Promsrikaew.

Malaysia memulakan perlawanan dengan agak rancak pada permulaan permainan dengan dua percubaan awal ke arah gawang Thailand namun tidak berjaya menghasilkan jaringan.

Advertisements

Thailand yang jarang melancarkan serangan merbahaya akhirnya berjaya memperoleh gol pendahuluan apabila Suphanat Mueanta yang berjaya melakukan rembatan hasil hantaran lolos menarik oleh rakan sepasukannya dari bahagian bawah. Thailand mendahului Malaysia 1-0.

Selepas terhasilnya gol pendahuluan tersebut, pasukan Thailand terus agresif melancarkan serangan ke arah gawang Malaysia namun perangkap offside berjaya menidakkan tambahan gol dari pasukan Thailand.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan tanpa tambahan jaringan dan kedudukan kekal memihak Thailand 1-0 mendahului Malaysia.

Advertisements

Separuh masa kedua, Malaysia melakukan dua pertukaran untuk mencari gol penyamaan selepas melihat kurangnya pergerakan di bahagian atas.

Thailand hampir menambah jaringan melalui Ekanit Panya pada minit ke-46 namun rembatannya sedikit saja tersasar di sisi gawang Malaysia.

Hadi Fayyadh berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-58 melalui situasi satu lawan satu dengan penjaga gol namun rembatan beliau lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol Thailand.

Advertisements

Thailand berjaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-69 melalui Channarong Promsrikaew yang mudah menyudahkan hantaran Nicholas Mickleson untuk menjadikan kedudukan berubah menjadi 2-0 memihak Thailand.

Belum sempat pasukan Malaysia melancarkan serangan, Thailand semakin ghairah melakukan serangan dan hasilnya mereka menambah jaringan pada minit ke-73 kali ini sekali lagi melalui Suphanat Mueanta yang menerima hantaran dari Ben Davis sekali gus merubah kedudukan menjadi 3-0 buat Thailand.

Thailand terus mengasak dengan pelbagai variasi serangan walaupun sudah jauh di hadapan manakala pasukan Malaysia dilihat terus buntu dan kerap kehilangan bola.

Advertisements

Perlawanan ditamatkan selepas 3 minit masa tambahan diberikan dengan menyaksikan tiada tambahan gol dapat dijaringkan dan kedudukan kekal 3-0 memihak Thailand.

Kekalahan 0-3 skuad Malaysia kepada Thailand ini sekali gus mematikan langkah anak buah Brad Maloney untuk mara ke pusingan kalah mati memandangkan ini merupakan kekalahan kedua dalam kejohanan ini.

Selepas ini, pasukan Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan dengan menentang Vietnam pada 8 Jun manakala Thailand akan berdepan juara bertahan, Korea Selatan pada hari yang sama. Dua pasukan teratas akan mara ke suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram