Malaysia menempah tiket final acara regu Piala Asia Sepak Takraw 2025 apabila menewaskan Vietnam di peringkat separuh akhir.
Selepas menewaskan Brunei di peringkat suku akhir, Malaysia perlu menang jika mahu berentap dengan musuh tradisi, Thailand di peringkat akhir.
Atas sebab itu, kem negara mempertaruhkan gandingan Azlan Alias, Syahir Rosdi dan Farhan Adam untuk menghadapi Vietnam.
Kem Vietnam pula memilih menurunkan Ngo Tanh Long sebagai tekong, Voung Ming Chau (feeder) dan Huynh Ngoc Sang (killer).
Set pertama menyaksikan Malaysia mempamerkan aksi mantap meskipun cuba diberi tentangan oleh Vietnam. Mereka berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 15-8.
Set kedua menyaksikan Vietnam tampil lebih baik dengan harapan membawa permainan ke set penentuan. Situasi ini mendorong kem negara memasukkan Haziq Nizam menggantikan Syahir.
Kemasukan tekong Negeri Sembilan Antlers itu kembali memberi kelebihan kepada Malaysia sebelum menang dengan keputusan 15-10.
Malaysia bakal berentap dengan Thailand di pentas final acara regu yang berlangsung pada malam ini.