Piala Dunia FIFA B-20 Berisiko Dibatalkan & Berpindah Lokasi
Asia Tenggara
@Levyninho
Advertisements

Proses undian kumpulan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia B-20 di Indonesia yang sepatutnya berlangsung pada minggu ini terpaksa ditangguhkan. Ini selepas Bali enggan menjadi tuan rumah kepada pasukan Israel.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) membatalkan proses cabutan yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini. Difahamkan, Indonesia dan Iraq tidak mahu ditempatkan dalam satu kumpulan sama dengan negara tersebut.

Kejohanan membabitkan 24 buah pasukan itu bakal berlangsung dari 20 Mei hingga 11 Jun membabitkan enam buah bandaraya. Israel yang dibimbing Ofir Haim itu bakal membuat kemunculan sulung dalam Piala Dunia B-20.

Advertisements

Begitupun, kekejaman rejim terhadap warga Palestin mengakibatkan ramai pihak di Indonesia menggesa kerajaan agar melarang pasukan bola sepak negara itu daripada bertanding di Piala Dunia B-20. Hal ini turut ditegaskan oleh Gabenor Bali, Wayan Koster dalam satu surat kepada Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Zainudin Amali.

Disebabkan isu ini, ramai bimbang Indonesia bukan saja berdepan kemungkinan kehilangan hak sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20. Malah, PSSI juga berkemungkinan bakal dikenakan tindakan keras oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) termasuk dikenakan penggantungan.

Kemungkinan ini tidak ditolak oleh Exco PSSI, Arya Sinulingga. Beliau menyifatkan jika itu berlaku, ia merupakan satu berita buruk kepada bola sepak Indonesia.

Advertisements

“Berkenaan bila tarikh undian kumpulan baru akan dibuat, kami belum mendapat maklumat daripada FIFA. Ketika ini, kami sedang memikirkan cara bagaimana Indonesia tidak dipulaukan dalam ekosistem bola sepak dunia dan kami tahu amat sukar memisahkan politik dan sukan walaupun kita mahu,” katanya kepada Tribunnews.

Difahamkan, dua negara sudah mula menunjukkan minat sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 iaitu Qatar dan Argentina. Begitupun, jika Qatar dipilih sebagai tuan rumah, kejohanan perlu ditangguhkan dan dilangsungkan sekitar musim sejuk atau penghujung tahun ini.

Ini sudah pasti akan mengundang masalah kepada Qatar memandangkan mereka juga merupakan tuan rumah Piala Asia 2023 yang bakal diadakan pada Januari tahun hadapan.

Advertisements

Tidak kira siapa yang dipilih sebagai tuan rumah, negara yang dipilih layak secara automatik ke Piala Dunia B-20 atas kapasiti sebagai tuan rumah.

Yang pasti, jika FIFA menarik balik hak tuan rumah Piala Dunia B-20 daripada Indonesia, ia bakal memberi kesan kepada reputasi PSSI dan bola sepak Indonesia amnya. Ini kerana bola sepak Indonesia masih dibayangi tragedi Kanjuruhan pada Oktober tahun lepas.

Selain itu, Indonesia juga bakal berdepan kerugian ekonomi yang mencecah jutaan rupiah termasuk kehilangan peluang pekerjaan dan penjanaan aktiviti ekonomi semasa kejohanan berlangsung.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram