Piala Dunia: Main Buruk Pun Dipilih Pemain Terbaik, De Bruyne Rasa Pelik
Dunia
FIFA
Advertisements

Selepas kemenangan tipis dilakar Belgium ke atas Canada dalam aksi Piala Dunia Kumpulan F, bintang sensasi mereka Kevin De Bruyne dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Belgium mencatat kemenangan 1-0 menerusi jaringan tunggal Mitchy Batshuayi pada minit akhir separuh masa pertama, namun skuad kendalian Roberto Martinez itu bergelut untuk sebahagian besar perlawanan di sebalik beza reputasi yang terlalu jauh antara kedua-dua pasukan.

Mereka seperti memberikan penguasaan kepada Canada dan terpaksa menangani tentangan sengit Canada yang dianggap antara pasukan paling kerdil dalam edisi kali ini, sebelum mengesahkan tiga mata.

Advertisements

Canada juga mencipta beberapa momen cemas termasuk memenangi sepakan penalti di awal permainan namun gagal memanfaatkannya apabila tendangan Alphonso Davies diselamatkan Thibaut Courtouis.

Malahan, De Bruyne sendiri merasakan pasukannya bernasib baik untuk menang sambil mengakui prestasi dirinya tidak berada pada tahap terbaik.

“Kami bermula dengan sangat teruk, tidak bermain sebagai sebuah pasukan dan gagal mencari solusi untuk sepanjang permainan. Pada separuh masa kedua, kami ditekan dan bergelut untuk mempertahankan satu gol.

Advertisements

“Kami cuba mengimbangi permainan tetapi jujur, semua termasuk saya tidak bermain dengan baik. Canada bermain dengan jauh lebih baik. Satu-satunya perkara bagus, adalah kami menang.

“Jadi saya tidak rasa saya layak mendapat trofi pemain terbaik, saya tidak tahu kenapa saya yang dipilih, mungkin kerana nama,” ujar pemain Manchester City itu.

Belgium yang dianggap antara pasukan pilihan di Piala Dunia 2022, selepas ini akan menentang Maghribi pada Ahad, sebelum menentang Croatia dalam aksi terakhir kumpulan.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram