Piala Dunia: “Mana Ada Kami Sengaja Kalah”, Busquets Pertahan Kekalahan Sepanyol
Dunia
AFP/FIFA
Advertisements

Selepas dikejutkan Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada awal pagi Jumaat, timbul tanggapan bahawa Sepanyol sebenarnya sengaja tewas perlawanan itu.

Sebelum perlawanan, Sepanyol hanya memerlukan seri untuk layak selaku juara kumpulan yang dilabel kumpulan maut ini, tetapi sekiranya tewas mereka tetap boleh mara sebagai naib juara dengan syarat Costa Rica tidak mengutip mata penuh dalam perlawanan menentang Jerman.

Ramai pemerhati dan penyokong beranggapan Sepanyol yang ketinggalan 1-2 kepada Jepun selepas 51 minit, pada awalnya serius untuk memburu gol penyamaan tetapi kemudiannya memilih untuk tidak bersungguh-sungguh dan sengaja tewas selepas mengetahui Jerman sedang mengatasi Costa Rica 4-2 ketika perlawanan sudah menghampiri wisel penamat.

Advertisements

Kenapa Sepanyol dikatakan mahu berbuat demikian, kerana sekiranya mereka muncul naib juara laluan mereka di pusingan kalah mati disifatkan sebagai lebih mudah berbanding muncul juara kumpulan.

Luis Enrique dikatakan membuat percaturan untuk mengelak pertembungan menentang gergasi Amerika Latin iaitu Brazil (suku akhir) serta Argentina (separuh akhir) yang dijangka berada di dalam laluan mereka jika berjaya meneruskan kemaraan lebih jauh.

Begitupun, tanggapan itu ditepis oleh pemain tengah yang juga kapten pasukan, Sergio Busquets.

Advertisements

“Ia tidak benar, kami tidak boleh mengubah persepsi orang. Yang kami tahu, kami bermain untuk menang dan mahu menjadi juara kumpulan. Kami tidak mahu mengelak bertemu mana-mana pasukan, kerana siapapun yang akan kami jumpa di pusingan berikutnya tidak menjanjikan laluan mudah.

“Kita telah lihat Maghribi singkirkan Belgium, salah satu pasukan pilihan jadi kami takkan kata jumpa Maghribi di pusingan kedua lebih senang berbanding Croatia. Di sini, semua pasukan bermain untuk menang, jadi begitu juga dengan Jepun mereka telah menyukarkan kami, kami tidak selesa dan tewas, itu sahaja,” ujar pemain Barcelona itu.

Pertembungan antara Sepanyol dan Maghribi yang mencipta kejutan muncul juara Kumpulan F akan berlangsung pada 6 Disember (11 malam) manakala Jepun pula melayan Croatia pada 5 Disember (11 malam).

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram