Piala FA: Irfan Bakti Tetap Bangga ‘Ini Sahaja Pemain Kita Ada’
MakanBola
Kelantan RW

Pengendali Kelantan Red Warrior, Irfan Bakti Abu Salim tetap menghargai usaha keras para pemainnya yang tersedia ketika turun menentang Kuching City dalam aksi pusingan 16 Piala FA 2026-2027.

Kekalahan 1-5 kepada Kuching City terpaksa ditelan Kelantan Red Warrior di Cheras pada Selasa yang menyaksikan pasukan Pantai Timur itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Piala FA musim ini lebih awal.

Sungguhpun tewas besar, Irfan Bakti sebagai ketua jurulatih tetap memberi pujian kepada barisan pemain yang turun berjuang sehingga tamat 90 minit meski sedar pasukannya tampil dengan serba kekurangan berbanding lawan.

“Enggan beri alasan cuma saya ingin beritahu pemain tempatan saya telah memberikan sepenuh kudrat yang ada. Itu sahaja kemampuan mereka ada dengan ketiadaan pengalaman bermain di pentas Liga Super,” komen Irfan Bakti ketika sidang media.

“Oleh itu, bagi saya walaupun kami tumpas 5-1, saya berpuas hati dengan persembahan mereka berdepan pemain berpengalaman dan bintang import yang dimiliki Kuching City, memang sukar buat pemain saya atasi mereka.”

Irfan Bakti turut mendedahkan bahawa ini sahaja barisan pemain yang sedia ada ketika ini dengan hanya 16 pemain disenaraikan dalam aksi pada Selasa termasuklah beberapa nama yang terpaksa dipanggil semula meskipun telah digugurkan.

Hal ini berpunca daripada situasi terkini Kelantan Red Warrior yang masih lagi berada dalam sekatan perpindahan FIFA, walaupun pihak pengurusan kelab sudah mengambil pelbagai langkah bagi menyelesaikan isu tersebut, termasuk mendapatkan bantuan FAM dan AFC.

“Tumpu kepada Liga Super, tapi ini sahaja pemain yang kami ada. 16 ke 18 sahaja pemain dengan sebenarnya 8 sehingga 9 pemain saya telah gugurkan tetapi oleh sebab isu sekatan FIFA, saya terpaksa panggil mereka kembali,” luah pengendali berusia 75 tahun itu.

Fokus Kelantan Red Warrior selepas ini tertumpu kepada aksi Liga Super menentang Penang di tempat lawan pada 12 September hadapan.