Piala FA: Juan Torres Jelaskan Sebab Tukar Penjaga Gol
MakanBola
Sabah FC

Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido memaklumkan peraturan liga sebagai punca beliau memasukkan penjaga gol, Damian Lim dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Selangor FC.

Pada separuh masa kedua, Garrido mengambil langkah mengeluarkan penjaga gol Argentina, Juan Flere dan memasukkan Damian sebagai pemain gantian.

Penjaga gol berusia 29 tahun itu beraksi untuk baki separuh masa kedua perlawanan itu. Apabila diminta mengulas apa yang berlaku, Garrido memaklumkan peraturan liga hanya membenarkan enam pemain import di atas padang pada satu-satu masa.

Justeru, beliau mengambil keputusan itu bagi membolehkan Oskari Kekkonen dan Miguel Cifuentes dapat beraksi sebagai pemain gantian.

“Itu disebabkan kita hanya boleh masukkan seorang lagi pemain import (mengikut peraturan liga). Ini kerana kita ada beberapa pemain yang belum bersedia termasuk pemain tempatan.

“Jadi, ini satu-satunya cara untuk dapatkan kelebihan di bahagian serangan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Sabah tersingkir apabila tewas 4-3 secara agregat kepada Selangor FC. Eduardo Sosa dan Chrigor Moraes mencetak gol buat Selangor dengan Park Jung-bin mencetak gol Sang Badak.

Aksi ini turut menyaksikan pemain baharu Sabah, Sho Yamamoto disenaraikan sebagai pemain simpanan. Yamamoto berpotensi membuat penampilan pertama dalam aksi liga menentang DPMM FC pada 13 September ini.