Piala Malaysia: 3 Pasukan Liga A1 Rekod Kehadiran Tinggi
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Tiga pasukan Liga A1 merekodkan kehadiran tinggi untuk aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia.

Tiga pasukan tersebut ialah Perak FA, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dan UM Damansara. Ini berdasarkan data kehadiran penyokong baru-baru ini.

]Perak merekodkan kehadiran 4,005 orang penyokong di Stadium Manjung untuk aksi menentang KL City FC. Penyokong yang hadir teruja apabila Sang Seladang mengejutkan pasukan Lembah Klang itu 2-0.

Ini disusuli Kelantan RW ketika melayan kunjungan Brunei DPMM FC di Kota Bharu. 2,449 orang hadir melihat anak buah Irfan Bakti memberi tentangan sebelum tewas 2-0.

UM Damansara pula merekodkan kehadiran keempat tertinggi iaitu 1,517 orang. UM Damansara turut senasib dengan Kelantan RW apabila tewas di tangan Terengganu FC 2-0.

Aksi PDRM FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan kehadiran tertinggi iaitu 7,976 orang. Aksi ini menyaksikan JDT meraih kemenangan besar 10-1 dengan Teto Martin menyumbat enam gol.

Empat lagi aksi merekodkan kehadiran tiga angka. Aksi Melaka FC menentang Sabah FC yang berkesudahan 2-2 menarik kehadiran 977 orang.

Ini disusuli 969 orang hadir melihat Penang FC menewaskan Kuching City FC 1-0 di Stadium Bandaraya. Douglas Coutinho turut meraih gol debut dalam perlawanan tersebut.

769 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV menyaksikan kebangkitan Selangor FC menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 2-1.

344 orang pula hadir melihat Imigresen FC mengikat Negeri Sembilan FC tanpa jaringan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia akan berlangsung dari 22 hingga 25 Januari ini.