Piala Malaysia: Ada Kisah Istimewa Di Sebalik Gol Chrigor Moraes
MakanBola
Selangor FC

Di sebalik gol Chrigor Moraes ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia lalu, ada cerita istimewa yang dikongsikan peledak berbisa Selangor itu.

Nama Chrigor Moraes sekali lagi diangkat menjadi wira buat Selangor apabila peledak dari Brazil itu berjaya meledak gol penyamaan pada saat akhir untuk mengikat Kuching City 1-1.

Jaringan tersebut bukan sahaja membantu menghidupkan kembali perjuangan Selangor, malah cukup istimewa buat Chrigor sendiri yang baru sahaja bergelar bapa pada 30 Mac lalu.

Chrigor ketika ditemu bual memaklumkan bahawa fokusnya tertumpu buat isterinya dalam tempoh 9 bulan terakhir bagi menyambut cahaya mata sulungnya yang dilahirkan di Brazil.

”Dalam 9 bulan yang terakhir, fokus saya kepadanya (isteri dan anak yang baru sahaja lahir) dan saya sangat gembira,” luah Chrigor Moraes ketika ditemui selepas perlawanan.

Beliau meluahkan rasa syukur apabila keluarganya berada di sisi untuk membantu isterinya di sepanjang proses kelahiran, meskipun beliau sendiri tidak dapat hadir bagi menyaksikan momen indah itu.

”Saya tak dapat berada di sana (bagi menyambut kelahiran) bersama isteri saya tetapi keluarga saya sentiasa ada untuk memberi sokongan kepada isteri saya.”

Malah, Chrigor turut berkongsi momen awal menyesuaikan diri sebagai ibu bapa baharu bersama isterinya, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik buat puterinya.

”Pada awalnya, sedikit sukar (untuk adaptasi) bersama bayi tapi biasalah baru bergelar ayah dan ibu namun kami berikan yang terbaik untuknya,” kongsinya sambil menahan sebak.

Dengan kehadiran ahli keluarga baharu ini, sudah pastinya menjadi tonik tambahan buat Chrigor Moraes untuk terus menampilkan aksi terbaik demi membantu Selangor meraih kejayaan pada masa hadapan.