Penyokong Perak FC berpeluang melihat aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia membabitkan pasukan itu dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Manjung pada waktu malam.
Sebelum ini, aksi kedua membabitkan The Bos Gaurus dan Sang Kijang Emas diadakan di Manjung pada waktu petang berdasarkan semakan jadual perlawanan.
Ini disebabkan isu lampu limpah Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada ketika itu menyebabkan semua perlawanan Perak di stadium itu perlu diadakan pada waktu petang.
Susulan itu, MPM memberi jaminan akan menyelesaikan isu berkenaan bagi membolehkan aksi Liga Malaysia (Liga M) Perak dapat diadakan di Stadium Manjung pada waktu malam.
Pada 9 November lalu, MPM telah memuat naik siri video yang menunjukkan sistem lampu limpah Stadium Manjung sudah memenuhi parameter yang ditetapkan MFL.
Ini membawa kepada pengumuman pindaan waktu perlawanan kedua Piala Malaysia kedua-dua pasukan itu akan berlangsung pada 30 November ini. Aksi yang sepatutnya berlangsung pada 4.00 petang kini akan berlangsung pada jam 8.30 malam.
Perak memiliki kelebihan tiga gol selepas menewaskan Kelantan DN di Stadium MBPJ pada 22 November lalu. Clayton, Nur Azfar Fikri Azhar dan Daniel Hakimi Ahmad Zamil mencetak nama sebagai penjaring.
Aksi Perak-Kelantan DN bukan satu-satunya perlawanan Piala Malaysia yang mengalami perubahan dari segi waktu perlawanan.
Aksi membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL Rovers yang berlangsung pada 30 November kini dilangsungkan pada jam 5.30 petang berbanding waktu asal, 8.30 malam.