Advertisement
Piala Malaysia : Dollah Terkejut Samassa Lepas Sembilan Gol
Dunia
MakanBola
Sri Pahang FC Official

Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh mengakui sedikit terkejut melihat prestasi suram ditunjukkan penjaga gol import, Mamadou Samassa dalam dua perlawanan menentang Terengganu, di pusingan kedua Piala Malaysia.

Menurutnya, Samassa telah membuktikan dia salah seorang penjaga gol terbaik dalam Liga Malaysia sepanjang kempen Liga Super sebelum ini menerusi persembahan cemerlang di gawang, malah dia antara penjaga gol yang melakukan paling banyak ‘save’.

Namun, Samassa tidak mampu mengulangi prestasi sama itu, tampak lemau apabila bolos lima gol di laman sendiri di Stadium Darul Makmur, dan kemudiannya melepaskan empat gol di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan Sri Pahang kecundang agregat 9-3.

Lima daripada jaringan itu dilepaskannya kepada Kpah Sherman, dua kepada Faisal Halim dan satu masing-masing kepada Nik Shariff Haseefy dan Azam Azmi Murad.

Walaupun tidak menyalahkan Samassa sepenuhnya, Dollah berpendapat bekas penjaga gol skuad kebangsaan Mali itu sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik.

“Samassa adalah tonggak kita dan telah banyak membantu pasukan sebelum ini dalam liga, dia mencatat banyak clean sheet di pusingan kedua tapi pada saingan Piala Malaysia memang nampak begitu ketara dan berbeza persembahannya.

“Jujur saya tidak jangka dia akan melepaskan banyak gol sehingga sembilan gol, apatah lagi dia adalah penjaga gol import, tapi inilah bola sepak, kita kena terima hakikat yang bagus akan ada harinya dia tidak bagus,” kata Dollah.

Sebagai rekod, Samassa menyertai Sri Pahang awal musim ini bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Helmi Eliza, dan menjadi penjaga gol import kedua dalam saingan Liga Malaysia selepas Kevin Mendonza (KL City).