Piala Malaysia: Dua Kad Merah Jejas Rentak Selangor
MakanBola
Selangor FC

Penolong jurulatih Selangor FC, Lee Soon-seok mengakui dua kad merah memberi kesukaran kepada pasukan gergasi Lembah Klang itu.

Hal ini dinyatakan beliau selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kuching City FC dan Selangor di Kuching.

Selepas ketinggalan menerusi gol Petrus Shitembi, Merah Kuning terpaksa beraksi dengan sembilan pemain. Ini selepas Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Soon-seok mengakui ketiadaan dua pemain itu menyukarkan Selangor untuk mencari gol penyamaan. Pada masa sama, beliau tetap memuji semangat juang pasukan itu.

“Kehilangan dua pemain (akibat kad merah) ialah satu perkara yang sukar. Tapi saya fikir mereka bermain dengan baik.

“Mereka tidak pernah berputus asa, itu menunjukkan identiti kita. Kita hanya melepaskan satu gol, jadi saya bangga dengan para pemain,” katanya.

Soon-seok turut memaklumkan keputusan ini dijangka membakar semangat pemain Selangor untuk menamatkan kempen musim ini dengan baik.

Ini kerana selain memburu tempat kedua dalam Liga Super, Selangor juga akan berdepan cabaran Nam Dinh FC untuk aksi separuh akhir Shopee Cup.

“Sudah tentu kita ada banyak perlawanan. Kita ada Shopee Cup dan liga (Liga Super). Jadi, kita tak boleh putus asa disebabkan ini (tersingkir dari Piala Malaysia).

“Kita akan lebih bermotivasi dan belajar daripada perlawanan ini dan akan terus mara ke depan bersama ketua jurulatih (Kim Pan-gon),” tambahnya.

Selangor mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia apabila tewas 2-1 secara agregat di tangan Kuching City.

Selepas ini, Selangor akan menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 24 April ini.