JDT Mara Ke Final Piala Malaysia Mudah Tewaskan Sabah
Piala Malaysia
Johor Southern Tigers
Advertisements

JDT muncul pasukan pertama layak ke final Piala Malaysia musim ini selepas berjaya menundukkan Sabah dalam perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.

Berbekalkan kelebihan tipis 1-0 dari perlawanan pertama di Kota Kinabalu, JDT mengasak pasukan pelawat sejak dari awal perlawanan. Bagaimanapun, beberapa percubaan awal tuan rumah berjaya dinafikan penjaga gol Sabah Damian Lim.

Percubaan terbaik Harimau Selatan hadir pada minit ke-24 apabila Bergson da Silva berjaya melepasi pertahanan Sabah sebelum melepaskan rembatan ke arah Damian. Bagaimanapun, bekas penjaga gol Negeri Sembilan itu berjaya menafikan percubaannya sebelum menangkap percubaan susulan JDT.

Advertisements

Barisan pertahanan Badak yang kental akhirnya bolos juga. Ini selepas kelekaan barisan pertahanan Sabah membenarkan bek kiri JDT, La’Vere Corbin Ong membuat satu hantaran tepat yang berjaya ditanduk Bergson pada minit ke-35.

Kelalaian pertahanan Sabah sekali lagi dihukum apabila hantaran jauh Afiq Fazail berjaya diterima oleh Arif Aiman Hanapi dalam kotak penalti. Daripada menyepak ke arah gawang, Arif menghantar bola kepada Fernando Forestieri untuk ditolak masuk pada minit ke-41. Kedudukan agregat 3-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Sabah merapatkan jurang agregat menerusi Taiki Kagayama pada minit ke-47. Ini selepas pemain import Jepun itu berjaya menolak bola muntah yang terlepas dari tangan Farizal Marlias masuk ke gawang Harimau Selatan.

Advertisements

Tersentak dengan jaringan pasukan Badak, tuan rumah terus mengatur lebih banyak serangan ke arah kubu pasukan pelawat. Gol Kagayama bagaimanapun memberi keyakinan kepada Sabah untuk memburu gol tambahan bagi mengikat kedudukan agregat tetapi berjaya dinafikan barisan pertahanan JDT.

JDT berpeluang menambah jaringan ketiga perlawanan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-90. Ini selepas pemain Badak, Gerald Gadit mengasari Akhyar Rashid dalam kotak penalti. Bagaimanapun, sepakan yang diambil Safawi terbang melepasi palang gol.

Kehampaan tuan rumah berjaya ditebus oleh pemain gantian Syafiq Ahmad pada minit ke-93. Bekas penyerang Kedah itu memanfaatkan keletihan yang dialami benteng pertahanan Sabah dengan tolakan mudah ke dalam gawang.

Advertisements

Derita Badak semakin bertambah apabila Gerald dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit-minit akhir perlawanan. Ini selepas pemain Sabah itu mengutip kad kuning kedua akibat mengasari pemain JDT. Keputusan agregat 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, JDT bakal menanti sama ada Selangor atau Terengganu sebagai lawan mereka di pentas final. Final Piala Malaysia dijangka berlangsung pada 26 November ini bagi menentukan siapa pemenang trofi berprestij itu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram