Kuching City menjadi pasukan ke-4 yang menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2024-2025 apabila menewaskan Penang di laman sendiri.
Kedua-dua pasukan kini kembali bertemu di Stadium Negeri, Sarawak bagi aksi kedua pusingan 16 dengan Kuching City ketika ini memiliki kelebihan agregat 1-0 ke atas Penang.
Wira Kuching City di aksi pertama lalu, Ramadhan Saifullah kekal menjadi taruhan Aidil Sharin di jentera serangan tatkala barisan pemain Penang diketuai oleh bek kental, Rafael Vitor.
Perlawanan di babak pertama berlangsung tanpa sebarang jaringan yang dapat dihasilkan baik Kuching City mahupun Penang yang masih tercari-cari rentak permainan.
Malang buat Penang apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain apabila pertahanan kiri, Adib Ra’op diarah keluar padang akibat kad merah pada minit ke-41.
Separuh masa pertama tamat, Kuching City 0-0 Penang.
Kembali dari rehat, Kuching City memanfaatkan kekurangan lawan dengan mencetak gol pertama pertama perlawanan pada minit ke-69 menerusi penyerang, Kipre Tchetche.
Jaringan Ramadhan Saifullah ketika permainan berbaki 10 minit untuk dimainkan mengesahkan kemaraan Kuching City ke pusingan suku akhir.
Aksi di Stadium Negeri tamat dengan keputusan 2-0 memihak Kuching City dan secara agregat 3-0.
Kuching City menjadi pasukan ke-4 yang melangkah ke suku akhir Piala Malaysia, mengikuti jejak Negeri Sembilan, Johor Darul Ta’zim dan Terengganu yang mara lebih awal.
Penang pula terpaksa akur tersingkir daripada saingan Piala Malaysia dan bakal beraksi di MFL Challenge Cup bersama Melaka, PDRM dan KL Rovers.