Kuching City FC bergaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dengan menyingkirkan Brunei DPMM FC 6-2 secara agregat.
DPMM perlu menang dengan kelebihan empat gol jika ingin mengatasi kelebihan agregat The Cats. Kuching City pula berpeluang mara dengan syarat mempertahankan kelebihan agregat 3-1.
Ronald Ngah Wanja kembali cergas untuk mengetuai jentera serangan The Cats. Jordon Murray mengetuai jentera serangan DPMM.
Separuh masa pertama menyaksikan Kuching City memburu gol awal menerusi Ngah Wanja, Ramadhan Saifullah Usman dan Jordan Mintah.
Ngah Wanja menceriakan penyokong di Stadium Negeri Sarawak dengan meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-28.
Tersentak, DPMM cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Malangnya, gawang pelawat bocor buat kali kedua 15 minit selepas itu.
Kali ini, giliran kapten The Cats, James Okwuosa pula mencetak nama sebagai penjaring. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Kuching City terus memberi tekanan kepada DPMM untuk mendapatkan gol pelawat.
Situasi ini memaksa jurulatih DPMM, James McAllister memasukkan Ibrahim Sulley menggantikan bekas pemain Penang FC, Fairuz Zakaria.
Percaturan beliau membuahkan hasil apabila Hakeme Yazid Said merapatkan jurang gol pada minit ke-59.
Kelebihan agregat yang selesa mendorong jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak memasukkan pemain baharu mereka, Gabriel Palmero pada minit ke-64.
Pemain pertahanan Harimau Malaya itu tidak menunggu lama untuk meraih gol sulung bersama The Cats pada minit ke-69.
DPMM terus memberi tekanan kepada Kuching City untuk mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan The Cats mara dengan kelebihan agregat 6-2. Kuching City bakal bertemu Selangor FC atau Negeri Sembilan FC di peringkat separuh akhir.