Piala Malaysia: Melaka Singkirkan 10 Pemain Sabah
MakanBola
MELAKA FC

Melaka melayakkan diri ke pentas suku akhir saingan Piala Malaysia musim 2025/26 selepas menundukkan pasukan Sabah dengan keputusan secara agregat 2-5 dalam aksi pusingan 16.

The Rhinos membariskan Khairul Fahmi di benteng terakhir dengan Dominic Tan menggalas lilitan kapten manakala Ajdin Mujagic sebagai ayam tambatan bagi aksi ini.

Sementara itu, Melaka menurunkan Haziq Aiman di posisi penjaga gol dengan Shahrel Fikri mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.

Kedua-dua pasukan bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya pada awal minit separuh masa pertama.

Melaka melepaskan satu rembatan kencang berbahaya menerusi Shahrel Fikri namun percubaan beliau gagal menepati sasaran gawang pasukan Sabah.

Sabah turut melakukan beberapa percubaan menerusi Fergus Tierney & Ajdin Mujagic namun tiada jaringan dapat dihasilkan.

Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun menampilkan aksi yang cukup bertenaga.

Pasukan Sabah terus menerus mengasak kubu Melaka di akhir babak pertama aksi bagi menceriakan ribuan penyokong sendiri namun ketangkasan penjaga gol pelawat, Haziq Aiman harus diberi pujian.

Sabah terpaksa akur apabila harus bermain dengan 10 orang selepas Gary Steven dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua kelab.

Bersambung babak kedua, Melaka terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi ini.

Melaka membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-49 menerusi penyerang import baharu, Ahmed Shamsaldin bagi memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.

Che Rashid meledak gol kedua pasukan Melaka pada minit ke-85 sekali gus mematikan langkah pasukan Sabah.

Ahmed Shamsaldin sekali lagi memberikan luka kepada pasukan Sabah pada minit ke-87 dengan merobek gol ketiga pasukan Melaka.

Aksi di Stadium Likas tamat dengan keputusan secara agregat 2-5 memihak kepada pasukan pelawat, Melaka.

Selepas ini, Melaka dijadualkan akan bertemu pemenang di antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PDRM yang akan berentap dalam aksi kedua pusingan 16 pada Sabtu ini.