Piala Malaysia: “Mungkin Lebih Daripada 5 Gol” – Kim Pan-gon
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui pasukan itu seharusnya menyumbat lebih daripada lima gol dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya apa aspek yang mahu ditambah baik beliau dalam aksi berkenaan.

Pan-gon mengakui jika pasukannya berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang dalam aksi itu, Selangor berupaya meraih jumlah jaringan yang lebih besar.

Pada masa sama, bekas jurulatih Harimau Malaya itu tetap memuji prestasi hebat yang dipamerkan anak buahnya.

“Saya fikir kita masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama ya, bila kita ada peluang, kita kena jaringkan gol.

“Hari ini kita menjaringkan gol, mungkin (sepatutnya) lebih daripada lima gol. Tapi ini cuma pandangan sebagai jurulatih, kita letak terlalu banyak harapan tetapi saya fikir semua pemain beraksi bagus,” katanya.

Selangor mara ke peringkat separuh akhir selepas meraih kemenangan agregat 6-1 ke atas Negeri Sembilan.

Aksi ini juga menyaksikan Kim Pan-gon terus mengekalkan rekod tanpa kalah bersama Selangor sejak mengambil alih pasukan itu pada Januari lalu.