Piala Malaysia: Risto Vidakovic Akur Kekuatan JDT
MakanBola
KL City FC

Pengendali KL City, Risto Vidakovic terpaksa akur menelan kepahitan kepada lawan lebih kuat, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat.

JDT berjaya membawa pulang bekalan empat jaringan dari ibu kota selepas tampil garang ketika mengalahkan KL City 4-0 dalam perlawanan timbal balik pertama separuh akhir Piala Malaysia.

Dua jaringan Ager Aketxe dan satu gol masing-masing oleh Bergson da Silva serta Oscar Arribas memastikan Harimau Selatan kini selangkah untuk menjejakkan kaki ke final buat kali ke-6 berturut-turut.

Jurang membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan Risto Vidakovic akur dengan kekuatan JDT yang disifatkan sudah berada di tahap berbeza hingga terlalu sukar untuk bersaing

”Saya rasa mereka (JDT) terlalu kuat. Mereka berada satu tahap di atas liga dan saya fikir amat sukar untuk menentang mereka,” ulas Risto Vidakovic selepas tamat aksi.

“Setiap pemain berada pada tahap yang berbeza dan saya rasa pasukan saya telah bersaing dengan baik serta bagus, tetapi ia memang sangat sukar,” tambah pengendali tersebut.

Perlawanan timbal balik kedua antara JDT vs KL City bakal berlangsung pada 2 Mei di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.15 malam.