Piala Malaysia: Selangor Ketepikan Cabaran PDRM, Mara Ke Suku Akhir
Piala Malaysia
Selangor FC
Advertisements

Kemenangan agregat 5-3 ke atas PDRM FC sudah cukup untuk Selangor FC mara ke suku akhir Piala Malaysia 2023 biarpun tunduk 2-1 kepada pelawat dalam aksi kedua pusingan 16 kejohanan itu hari ini.

Perlawanan ini dianggap istimewa kerana ini debut buat jurulatih baru The Cops, Datuk Yunus Alif. Begitupun, perlawanan ini tetap sukar lebih-lebih lagi selepas Selangor membelasah PDRM 4-1 pada aksi pertama pusingan 16 pasukan pada 3 Ogos lalu.

Dan sebaik babak pertama bermula, The Red Giants terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Yohandry Orozco pada minit ke-25. Orozco berjaya melepasi pertahanan pelawat sebelum menewaskan penjaga gol PDRM, Ramadhan Hamid.

Advertisements

Begitupun, kelebihan Selangor hanya bertahan selama tujuh minit. Penyerang muda Sang Saka Biru, Nabil Ahmad Latpi berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol Merah Kuning, Samuel Somerville.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran dengan memasukkan Sharul Nazeem Zulpakar dan penjaring terbanyak mereka musim ini, Ayron del Valle.

Advertisements

PDRM bernasib baik tidak beraksi dengan 10 pemain selepas Alif Najmi Shaaini menjatuhkan del Valle. Walaupun dianggap orang terakhir dalam situasi pertahanan, pengadil Abang Azharuddin Abdullah hanya melayangkan kad kuning kepada Alif Najmi.

Richmond Boakye hampir menyumbat gol kedua The Red Giants pada minit ke-69. Bagaimanapun, bekas penyerang Juventus itu hampa apabila percubaannya tersasar.

Advertisements

Perlawanan makin panas apabila PDRM mula membuat cabaran fizikal ke atas pemain-pemain Merah Kuning. Ini memaksa Abang Azharuddin melayangkan kad kuning beberapa kali bagi menenangkan keadaan.

PDRM berasa lega apabila percubaan Noor Al-Rawabdeh tidak mengenai sasaran pada minit ke-83. Sebaliknya, mereka pula yang meraih gol kemenangan menerusi Hadi Fayyadh pada minit akhir perlawanan selepas menolak mudah hantaran pemain gantian, Bruno Suzuki

Advertisements

Kemenangan ini dilihat tonik terbaik buat PDRM apabila turun beraksi dalam Piala Cabaran MFL nanti. Sementara Selangor pula pasti mahu bangkit dalam aksi Liga Super seterusnya selepas layak ke suku akhir ke Piala Malaysia.

Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali beraksi di Liga Super dengan The Red Giants menentang Kelantan di Kota Bharu pada 25 Ogos. Manakala Sang Saka Biru pula berdepan Penang pada 27 Ogos.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram