Jurulatih interim Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui kesilapan mudah pada suku akhir permainan menyebabkan pasukan itu tersingkir dari saingan Piala Malaysia.
Hal ini dinyatakan bekas pemain kebangsaan itu apabila ditanya punca pasukan Pantai Timur itu tewas 2-1 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi suku akhir kedua.
Selepas ketinggalan hasil jaringan Akhyar Rashid, anak buah Risto Vidakovic bangkit dengan menyumbat dua gol. Victor Ruiz dan Paulo Josue memastikan tiket separuh akhir milik KL City.
Tengku Hazman mengakui dua gol The City Boys terjadi akibat kesilapan pemain Peteh pada suku terakhir permainan.
“Gol pertama berlaku disebabkan pemain baharu masuk sebagai pemain gantian. Mungkin belum menyesuaikan diri lagi.
“Dan saya nampak kesilapan mudah dari belah sana, itu yang berlaku. (Pemain) gagal mengeluarkan hantaran mudah dan KL City menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan perjuangan Terengganu dalam Piala Malaysia musim ini berakhir. Ini selepas Terengganu tewas 3-2 secara agregat kepada KL City.
Selain itu, rekod tanpa kalah Terengganu di bawah bimbingan Tengku Hazman sebanyak enam perlawanan dalam semua kejohanan juga musnah.
Peteh kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Melaka pada 21 Februari ini.