Perak terlepas peluang untuk membawa bekalan selesa ke Temerloh setelah tewas di suku akhir pertama Piala Malaysia kepada Sri Pahang pada Jumaat.
Selepas mengejutkan juara 33 kali, Selangor pada pusingan pertama, Sri Pahang dijadualkan menghadapi jaguh utara tanah air, Perak yang cemerlang menyingkirkan Kelantan DN.
Ramdhan Abdul Hamid diberi tugas penting mengawal pintu gol Perak bagi menggantikan tempat Haziq Nadzli manakala kesebelasan utama Sri Pahang pula diketuai oleh penyerang, Kpah Sherman.
Sebaik wisel permulaan ditiup, Perak dilihat lebih dominan dengan penguasaan bola selain peroleh beberapa peluang terbaik sebelum dihalang benteng kebal pasukan pelawat.
Walaupun begitu, skuad Tok Gajah terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan menerusi tandukan padu Kpah Sherman di minit ke-23 hasil hantaran lintang pemain sayap, Manuel Hidalgo.
Separug masa pertama tamat, Perak 0-1 Sri Pahang.
Kembali dari rehat, asakan demi asakan diatur oleh anak diduk Yusri Che Lah dalam usaha memburu gol penyamaan sekaligus memaksa Sri Pahang lebih banyak bertahan dan mengatur serang balas.
Hasrat Perak untuk meledak jaringan pertama tampak sukar tatkala jentera serangan diketuai oleh Clayton seakan buntu untuk memecahkan blok pertahanan pelawat yang begitu berdisiplin.
Di masa tambahan, penjaga gawang Sri Pahang, Zarif Irfan dilayangkan kad merah namun kelebihan seorang pemain itu tidak berjaya dimanfaatkan oleh Perak sehingga permainan tamat.
Aksi di Stadium Manjung berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Sri Pahang.
Perlawanan timbal balik kedua dijadualkan berlangsung pada Ahad, 22 Disember di Stadium Temerloh dengan sepak mula tepat jam 8.30 malam.