Piala Malaysia: Sri Pahang Gah Ke Suku Akhir, Kalahkan Harini
Piala Malaysia
Sri Pahang FC
Advertisements

Dua gol Kpah Sherman sudah cukup untuk membantu Sri Pahang FC layak ke suku akhir Piala Malaysia 2023. Ini selepas mereka mengalahkan wakil Liga M3, Harini FT dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik hari ini.

Dengan Stadium Darul Makmur sebagai venue aksi kedua, kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad Tok Gajah selepas menang tipis 3-2 pada aksi pertama.

Sebaik perlawanan bermula, tuan rumah mengatur serangan ke atas Harini tetapi pertahanan pelawat kental menyerap asakan mereka.

Advertisements

Sri Pahang terpaksa menunggu sehingga minit ke-43 untuk membuka jaringan menerusi Sherman. Bekas penyerang Terengganu FC itu melakukan sepakan basikal yang menewaskan penjaga gol pelawat, Hafizul Hakim.

Bersambung pada babak kedua, Tok Gajah menggandakan kelebihan menerusi Sherman pada minit ke-50. Ini merupakan gol ke-12 beliau dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Advertisements

Harini menarik nafas lega apabila pengadil membatalkan gol Azwan Aripin pada minit ke-57 selepas bek sayap Sri Pahang itu dikesan pada kedudukan ofsaid.

Pasukan pelawat cuba bangkit untuk merapatkan jurang tetapi gagal. Lebih malang, bekas pemain Harimau Malaya yang mewakili Harini, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Advertisements

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Harini tunduk 5-2 kepada Sri Pahang secara agregat.

Selain kemenangan ini, penyokong Tok Gajah juga lega melihat ayam tambatan mereka, Lucas Silva kembali beraksi selepas berehat lama akibat kecederaan. Penyerang Argentina itu masuk menggantikan Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-80.

Advertisements

Selepas ini, Sri Pahang akan berdepan KL City di pentas suku akhir. Manakala Harini pula bakal bersaing dalam Piala Cabaran MFL.

Tok Gajah berharap dapat menggunakan momentum ini untuk meraih kemenangan ke atas Kelantan United FC dalam aksi Liga Super seterusnya pada 27 Ogos.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram