Piala Malaysia: Terengganu Benam Cabaran Hebat UM-Damansara
MakanBola
MFL

UM-Damansara United tumpas kepada Terengganu dengan keputusan 0-2 di Stadium UM Arena dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia musim 2025/26 pada Isnin.

Pasukan tuan rumah, UM-Damansara United menurunkan Ameerul Eqhwan di posisi penjaga gol dengan Shivan Pillay menggalas lilitan kapten manakala Sean Gan Giannelli mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Terengganu menurunkan Rahadiazli di benteng terakhir dengan Shahrul Nizam sebagai ketua pasukan bagi aksi ini manakala Haqimi Azim menjadi ayam tambatan pasukan Sang Penyu.

Kedua-dua pasukan bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing pada awal babak aksi.

Terengganu berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke-5 aksi hasil ledakan jauh oleh penyerang berbisa Sang Penyu, Careca sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.

Sang Penyu terus menerus mengasak kubu pasukan UM-Damansara United bagi mencari gol tambahan aksi.

Memasuki minit ke-35 kedudukan masih didahului oleh pasukan Sang Penyu dengan satu jaringan.

Careca turut melepaskan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang wakil dari Liga A1 Semi-Pro tersebut namun gagal menepati sasaran pada minit-minit akhir separuh masa pertama.

Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Terengganu.

Bersambung babak kedua perlawanan UM-Damansara United tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan di hadapan penyokong-penyokong sendiri.

Shervoni Mabatshoev melepaskan satu rembatan volley pada minit ke-62 namun gagal menerjah jaring UM-Damansara United selepas Shivan Pillay berjaya mematahkan percubaan tersebut.

Thankgod Michael hampir memberikan gol penyamaan buat pasukan UM-Damansara United pada minit ke-73 namun ketangkasan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli harus diberi pujian.

Gol sendiri Shivan Pillay pada minit ke-78, berpunca daripada sepakan percuma pasukan Sang Penyu, mengubah kedudukan perlawanan.

Aksi tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan pelawat, Terengganu.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 23 Januari depan.