Piala Malaysia: Terengganu & KL City Sama Liat
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

KL City berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Terengganu dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia musim 2025/26 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Terengganu menurunkan Rahadiazli Rahalim di bahagian penjaga gol dengan Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten manakala Gervane Kastaneer mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.

Sementara itu, KL City membariskan Quincy Kammeraad di benteng terakhir dan Nicolao Dumitru menjadi ayam tambatan kelab The City Boys.

Kedua-dua pasukan tampil bertenaga dengan melancarkan beberapa percubaan ke arah kubu lawan masing-masing pada awal minit aksi.

Sang Penyu dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk menguasai permainan di laman sendiri apabila melancarkan beberapa rembatan berbahaya, namun masih gagal menembusi gawang Kuala Lumpur City

Gervane Kastaneer meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-16 sekali gus menceriakan ribuan penyokong Terengganu di Gong Badak.

Memasuki minit ke-30, kedudukan kekal didahului oleh pasukan Terengganu dengan satu gol.

KL City turut mencipta beberapa peluang menerusi Victor Ruiz dan Zhafri Yahya, namun percubaan mereka gagal menewaskan penjaga gol Sang Penyu.

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan Terengganu mendahului 1-0 ke atas KL City.

Sejurus babak kedua bermula, KL City meningkatkan tempo permainan dalam usaha menyamakan kedudukan.

KL City membuat pertukaran taktikal dengan mengeluarkan Kenny Pallraj dan menurunkan Adam Nor Azlin untuk menguatkan benteng pertahanan.

The City Boys terus menerus mengasak kubu pasukan Terengganu menerusi Giancarlo & Zhafri Yahya namun masih tiada jaringan ditemui.

Gervane Kastaneer hampir menambah gol kedua, namun percubaannya pada minit ke-80 tersasar jauh daripada gawang KL City.

Selepas itu, Terengganu melakukan pertukaran dengan memasukkan Kyaw Min Oo dan Haqimi Azim, sambil mengeluarkan Shervoni Mabatshoev & Gervane Kastaneer, dalam usaha memburu gol kedua.

KL City memperoleh gol penyamaan pada penghujung separuh masa kedua menerusi Nicolao Dumitru hasil gerakan cantik pemain gantian, Safawi Rasid.

Gol Baqiuddin Shamsudin pada masa kecederaan babak kedua dibatalkan kerana berlaku kekasaran ke atas Zhafri Yahya sebelum jaringan dilakukan.

Aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.