Kelab penyokong tegar Selangor FC yang lebih dikenali sebagai Ultras Selangor (UltraSel) menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan Kuching City.
Perkara ini berkaitan isu tiket penyokong pelawat bagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia musim ini antara The Cats dan The Red Giants.
Mengikut kronologi yang dikongsikan oleh kelab penyokong tersebut pada 13 April 2026, mereka menerima maklumat daripada Ticket Hotline bahawa sebahagian daripada lebih 200 tiket penyokong Selangor yang telah dijual akan dibatalkan serta wang akan dikembalikan.
Pada 14 April 2026, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak tuan rumah, Kuching City, dan situasi tersebut kekal tidak jelas.
Seterusnya, pada 15 April 2026, pihak Ultras Selangor sekali lagi menerima maklumat daripada Kuching City bahawa peruntukan sebenar tiket untuk penyokong pelawat yang diberikan oleh pihak The Cats hanyalah sebanyak 100 keping.
Namun begitu, jumlah tiket yang dibenarkan oleh Ticket Hotline sebelum ini adalah sebanyak 500 keping, dan angka tersebut berubah selepas Isnin, 13 April 2026.
Keadaan ini jelas memberi kesan kepada sekumpulan penyokong Selangor yang telah membuat persiapan awal, termasuk pembelian tiket penerbangan, tempahan penginapan serta pengangkutan di Kuching.
Menurut UltraSel, mereka menuntut agar pihak berwajib, iaitu MFL, menguruskan hal ehwal tiket dengan lebih telus.
“Kami juga menuntut Malaysia Football League (MFL) supaya menjalankan peranannya sebagai pengendali liga untuk memastikan hal-ehwal pengurusan tiket, khususnya bagi penyokong pelawat, dilaksanakan secara telus, konsisten dan mematuhi peraturan yang telah dipersetujui dan ditetapkan dalam manual.”
Selain itu, ketiadaan kenyataan rasmi berhubung isu tiket ini jelas menunjukkan kegagalan tiga pihak yang terlibat.
“Ketiadaan kenyataan rasmi dalam isu ini menunjukkan kegagalan koordinasi dan pemantauan antara pihak tuan rumah, pihak pasukan pelawat dan pihak pengendali liga.”
“Walaupun pelaksanaan berada di pihak tuan rumah, tanggungjawab akhir tetap terletak kepada pihak liga sebagai badan pengendali liga yang mengawal selia segala aturan dan proses perjalanan sesebuah perlawanan,” kata Ultras Selangor dalam satu kenyataan di laman media sosial pada Rabu.
Kuching City bakal melayan kunjungan Selangor pada 18 April ini di Stadium Negeri, Sarawak dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025/26, dengan sepak mula dijadualkan pada pukul 8.15 malam.