Johor Darul Ta’zim (JDT) II kembali bertakhta di puncak liga Piala MFL apabila menewaskan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching.
Aksi ini merupakan aksi pertama JDT II tanpa kelibat jurulatih Sepanyol, Juan Miguel Munoz Rodriguez. Ini selepas jurulatih berusia 42 tahun itu memilih meninggalkan pasukan itu.
Susulan itu, tampuk kejurulatihan JDT II digalas rakan senegara, Gonzalo Sanz Zaballos. Kuching City pula terdesak mendapatkan kemenangan selepas kali terakhir melakukannya pada 20 Januari lalu.
Meskipun beraksi di gelanggang lawan, itu tidak menghalang JDT II membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Syukur Fariz Januri.
Tersentak, barisan muda The Cats mula melancarkan serangan ke atas kubu pelawat. Hasilnya, Badshraf Aimar Bogi menyamakan kedudukan pada minit ke-22.
Kapten JDT II, Gabriel Nistelrooy memastikan pasukan itu mendahului 2-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-43.
Bersambung pada separuh masa kedua, JDT II terus mempergiatkan serangan ke atas kubu tuan rumah.
Walau bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-67 menerusi pemain gantian, Danish Syamer Tajuddin.
Danish terus menjadi duri dalam daging kepada tuan rumah apabila meledakkan jaringan keempat pada minit ke-78.
Zharmien Asyraf meledakkan gol kedua Kuching City empat minit selepas itu. Gol tersebut tidak cukup menghalang JDT II daripada meraikan kemenangan di Stadium Negeri, Kuching.
Keputusan ini menyaksikan JDT II merampas kembali tampuk pendahulu daripada Selangor FC dengan 47 mata. Kuching City kekal di tangga ke-12 dengan sembilan mata.
Selepas ini, JDT II bakal bertemu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 25 Februari. Kuching City pula akan menentang Sri Pahang FC pada hari yang sama.